Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ubat kerinduan, bekas ahli Umno boleh datang PAU -Zahid
Diterbitkan:  Jun 3, 2023 7:10 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid memaklumkan parti itu membuka pintunya kepada bekas ahli Umno dan ahli yang bukan perwakilan untuk hadir "sebagai pemerhati" Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 demi mengubat kerinduan mereka terhadap suasana majlis tersebut.

"Siapa-siapa nak datang ahli yang bukan perwakilan atau bekas ahli-ahli (Umno) yang mahu (datang), atau kerinduan mereka terhadap perhimpunan agung ini, sila datang.

"(Mereka) yang dari lain-lain parti juga boleh datang.

“Kita harapkan PAU 2023 ini adalah suatu titik permulaan bagi kita untuk menyelesaikan permasalahan atau isu yang ada sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Richard Engking, Sungai Amang di Kapit, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg, kerana telah mengesahkan kehadirannya ke PAU 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.

Zahid berkata pengesahan itu dibuat Abang Johari ketika dia berkunjung ke kediaman premier Sarawak itu di Kuching pada pagi hari ini.

Kata Zahid, pengesahan kehadiran itu satu manifestasi bermakna kepadanya, kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan juga akan hadir ke perhimpunan itu, selain Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Ahmad Zahid juga berharap supaya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, akan hadir ke perhimpunan itu kelak.

“19 presiden parti anggota kerajaan perpaduan akan hadir dan ini satu petanda baik dan penghargaan kepada Umno dam Barisan Nasional.

“Kita berusaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan ini, agar kerjasama yang dijalinkan akan lebih berstruktur,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerjasama kukuh anggota Kerajaan Perpaduan itu penting, bagi kestabilan politik lebih-lebih lagi dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri, yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

“Kita mengharapkan kemenangan akan memihak kepada komponen parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Lihat Komen
ADS