Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin balas Sanusi: Anwar kena ISA sebab perjuang kemiskinan Baling
Diterbitkan:  Jun 6, 2023 11:50 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Rakyat Malaysia tidak naif untuk telan hujah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak layak bercakap soal kemiskinan rakyat, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung PKR itu mengajak rakyat merenung fakta-fakta yang menunjukkan Anwar memperjuangkan isu kemiskinan sejak awal berkecimpung dalam arena politik.

"Kritikan terbaru menteri besar Kedah bahawa Anwar tak layak cakap hal kemiskinan rakyat, hujah Sanusi, Anwar datang daripada keluarga Umno, belajar di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar). Takat itu saja hujahnya.

"Saya tak berniat nak berhujah panjang.

"Mari kita renung fakta ini. Kali pertama (Anwar) masuk ISA (tahanan tanpa bicara) sebab perjuangkan isu kemiskinan Baling.

"Tamat belajar di Universiti Malaya terus buka Yayasan Anda di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Sekolah ini beri peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang rata-rata dari keluarga miskin.

"Minggu pertama menjawat perdana menteri, terus umum bantuan tunai kepada penanam padi yang umum tahu sangat dekat dengan kemiskinan," katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang meremehkan komitmen Anwar untuk membasmi miskin tegar di Malaysia dengan membangkitkan latar belakangnya sebagai anak ahli parlimen dan menerima pendidikan di MCKK.

Untuk rekod, Yayasan Anda Akademik merupakan sebuah institusi pendidikan swasta yang telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori oleh Anwar Ibrahim, pada bulan Mac 1971.

Pihak yayasan mengenakan yuran pengajian yang paling minimum kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada 19 November 1974 pula, rakyat Baling telah keluar berdemonstrasi dan kemuncaknya pada 1 Disember 1974 apabila kira-kira 30,000 penduduk berkumpul bagi menyuarakan isu kejatuhan harga getah.

Selain penduduk, demonstrasi tersebut turut disertai ribuan mahasiswa yang mengambil tindakan sama di Kuala Lumpur.

Gambar fail.

Harga getah ketika itu jatuh ke paras paling rendah daripada harga biasa iaitu antara hingga 60 sen sekati kepada 15 sen sekati, menyebabkan kalangan penduduk luar bandar berdepan keperitan.

Anwar termasuk pimpinan mahasiswa dan aktivis yang ditahan ISA dalam operasi yang bermula pada 14 Disember 1974.

Selanjutnya, Anwar ditahan tanpa bicara selama hampir dua tahun di kem tahanan Kamunting.

Sanusi dalam satu ceramah PN di Tanjong Karang, Selangor kelmarin menyoal wibawa Anwar untuk bercakap isu kemisikinan, “dia pernah miskin?”

"Hang tak payah sembang bab miskin sebab hang tak tahu apa! Ini (kata) nak memuktamadkan (membasmi) kemiskinan...

“Tak usah sembanglah bos, hang berangan-angan saja," kata Sanusi.

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan Sanusi merupakan sahabat mereka ketika sama-sama berada dalam Pakatan Rakyat.

‘Rakyat marah isu bekalan air Kedah’

"Sanusi ini sahabat masa kami sama-sama dalam Pakatan Rakyat.

“Beliau setiausaha politik Almarhum Azizan Razak (menteri besar Kedah) ketika itu. Kami saling mengenali langkah politik masing-masing," katanya.

Tambahnya, tindakan Sanusi yang mendakwa negeri Pulau Pinang sebagai milik Kedah pula hanya untuk mengalih kemarahan rakyat terhadap isu bekalan air yang melanda negeri Jelapang Padi itu.

"Isu Pulau Pinang milik Kedah dan serang perdana menteri berterusan tujuannya cuma satu, rakyat Kedah duk marah pasai isu air.

“Kemarahan meluas. Apa lagi cara Sanusi untuk kalih kemarahan ini?" soal Saifuddin.

Lihat Komen
ADS