Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Amanah negeri dilantik pengerusi Kada, Mada
Diterbitkan:  Jun 6, 2023 4:06 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan pelantikan pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang baru berkuat kuasa hari ini.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Muhammad Husain dilantik menerajui Kada , manakala Pengerusi Amanah Kedah, Dr Ismail Salleh mengemudi Mada.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pelantikan pengerusi bagi dua badan berkanun persekutuan di bawah KPKM setelah diperkenan Yang Di-Pertuan Agong. Pelantikan ini berkuatkuasa mulai 6 Jun 2023.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang pentadbiran, dasar dan pembangunan masyarakat.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti mereka dalam menggalas amanah menerajui kedua-kedua Badan Berkanun Persekutuan di bawah KPKM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu Muhammad menyatakan rasa syukur atas lantikan ke jawatan berkenaan.

“Semoga Allah memberikan kekuatan atas taklifan besar ini. Saya akan memberikan sepenuh komitmen dalam membantu merealisasikan hasrat kerajaan Madani hari ini terutama misi utama iaitu keterjaminan makanan.

“Terima kasih kepada menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengemudi Kada kali ini. Moga Allah berikan kesabaran dan permudahkan urusan,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS