Penduduk Felcra Semungkis berdemo, tuntut pampasan kerosakan banjir
Kira-kira 30 orang penduduk di Jalan Felcra Semungkis, Hulu Langat mengadakan bantahan pagi ini bagi menuntut pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) membayar pampasan akibat kerosakan yang dialami disebabkan oleh banjir.
Mereka berkumpul di hadapan Bangunan Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) sambil mengadakan bantahan secara aman dan kemudiannya menyampaikan memorandum kepada wakil syarikat tersebut.
Penduduk mendakwa kawasan rumah mereka sering ditenggelami air selepas pembinaan EKVE bermula pada 2017.
AZRB adalah pemegang konsesi bagi projek EKVE.

“Kami tidak membantah pembinaan lebuh raya kerana ia sudah siap dibina.
“Tetapi hari ini kami datang untuk menyerahkan memorandum kepada pihak pemaju untuk menuntut pampasan yang setimpal dan jaminan keselamatan kepada penduduk kampung,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Gahal Abu Samah Ibrahim.
Mereka menuntut pampasan seewajarnya ke atas kerosakan harta peribadi dari tahun 2017 sehingga 2023, termasuklah kemudahan-kemudahan di kampung itu yang musnah seperti jalan berlubang, runtuhan tebing jalan, mendapan tanah dan runtuhan tembok konkrit sepanjang laluan longkang.
Dakwanya, satu-satunya pampasan yang diterima daripada pemaju adalah untuk banjir yang berlaku pada tahun 2017 tetapi pampasan hanya diterima pada tahun 2021.

“Dapat dalam RM12,000 tapi tak semua dapat cuma dua belas keluarga (yang dapat),” katanya.
Penduduk mendakwa banjir berlaku tiga hingga empat kali di kampung mereka setiap tahun.
“2022 banjir sebanyak tujuh kali,” kata Abu Samah ketika perhimpunan pada hari ini.
Dia berkata, akibat kemusnahan laluan air semula jadi menyebabkan air hujan daripada lebuh raya melimpah ke longkang di kawasan perumahan mereka.
“Itu bukan sungai, itu longkang sahaja jadi kapasiti yang masuk tidak mampu untuk menerima air yang besar,” katanya.
Selain banjir, penduduk turut berdepan masalah lain seperti bekalan air kotor, bangkai haiwan, tanah runtuh dan kayu balak yang hanyut ke kawasan kampung.
Menurut seorang lagi penduduk Felcra Semungkis Noraini Mat Talha, kerugian akibat banjir sepanjang enam tahun itu dianggarkan bernilai kira kira RM 1 juta.
“Kami juga ada masalah bekalan air bersih, kami ada filter (penapis) tapi selalu hanyut.
“Berapa kali nak tukar filter dalam setahun? Saya dengan suami saya susah nak tadah air kami ni dah tua,” kata, Noraini, 61.

Sementara itu, pengarah keselamatan AZRB Mohd Harun Mohd Idris yang ditemui selepas menerima memorandum daripada penduduk, berkata, pihaknya akan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.
“Cuma susulan kemudian kita akan ada sesi yang lain.
“Secara rasionalnya, perjumpaan seterusnya kita akan libatkan kerajaan negeri dan kawasan tempatan,” kata Harun.
Malaysiakini sedang menghubungi AZRB untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai perkara itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/12a4aafd591c953684d4bdd9095385d5.jpg)
