Ada syarikat luar cuba buat duit dari kes tuntutan Sulu - Azalina
Kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu merupakan tindakan penipuan komersial yang dibantu oleh sebuah syarikat bukan tempatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menurutnya, kerajaan telah mengenal pasti syarikat tersebut yang bertindak sebagai pembiaya litigasi dalam kes ini.
"Kami mengesyaki (terdapat) pembiaya litigasi di sebalik ini yang biasanya membuat wang.
"Kita melihat bahawa ini satu gerakan yang lebih pada elemen untuk membuat duit, dan kita tahu bahawa pembiaya litigasi itu selalunya akan mengambil 25 peratus hingga 30 peratus daripada jumlah.
"Tapi isunya bukan perniagaan, ini bukan syarikat, ini bukan klausa timbangtara antarabangsa. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata syarikat yang bertindak di belakang tuntutan ini adalah sebuah syarikat besar yang bukan daripada Asia Tenggara.
Pembiaya litigasi bermaksud pihak ketiga yang tidak berkaitan yang membiayai sebahagian atau semua perbelanjaan undang-undang bagi satu atau lebih pertikaian undang-undang sebagai pertukaran untuk bahagian hasil yang diperoleh daripada penyelesaian pertikaian.
Untuk rekod, kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.
Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan Dr Gonzalo Stampa telah membuat keputusan memihak kepada penuntut.
Pada 25 Mei 2020, Stampa mengeluarkan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan kerajaan menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.
Pada 14 Mac lepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Kerajaan Malaysian di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.
Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan Stampa yang kini turut disiasat di bawah kesalahan jenayah di Sepanyol.
Mahkamah itu turut menganugerahkan Euro100,000 kepada Kerajaan Malaysia.
Ketika ditanya tindakan kumpulan itu membawa kes itu di beberapa negara lain termasuk Luxembourg dan Belanda, Azlina berkata kerajaan akan fokus kepada tuntutan teras iaitu di Madrid, Sepanyol.
"Sudah pasti mereka berhak meminta meminta tuntutan di negara yang mereka ingini.
"Tapi kita tidak nak lari sana lari sini, mungkin itu tindakan yang bodoh. Fokus kita ialah kes di Madrid. Jadi, kita selesaikan isu ini secara keseluruhan daripada permulaan.
"Kalau mereka yakin sangat dengan tuntutan, kenapa mereka lompat dari satu negara ke negara lain. Kita sepatutnya selesaikan kes di Madrid dulu.
"Sebab itu, bagi saya ini bukan Sulu award, ini adalah penipuan Sulu," katanya.
Azalina juga berkata kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk mengemukakan saman terhadap kumpulan tersebut.
"Sudah tentu. Kita perlu kutip semula duit yang di belanja untuk kes ini. Kita akan memberitahu kemudian sekiranya kerajaan saman balik kumpulan Sulu ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/2cffebc48c094cf6d5523fb1ca094632.jpg)
