Paling Popular
Terkini

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mempertahankan kritikannya terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini.

Menyokong kerajaan hari ini, kata Puad tidak bermaksud menteri yang kurang berprestasi tidak boleh ditegur.

"Pada saya Umno perlu ada pendirian iaitu jika berlaku perkara-perkara yang melampaui batas di mana ada di kalangan menteri tidak cekap tidak pandai mengurus takkan kita nak biarkan?

"Mereka juga perlu ditegur untuk memastikan Kerajaan Perpaduan kuat.

"Tetapi, pokoknya saya yakin bahawa kita setuju Kerajaan Perpaduan harus dipertahankan kerana ini mendokong titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak ada pilihan maksudnya jika sekiranya kerajaan ini lemah kestabilan tidak ada," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur malam ini.

Puad ditanya mengenai ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang meminta pemimpin parti itu menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan kritikan.

Terdahulu, ketika berucap Mohamad berkata segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan.

Puad sebelum ini berkata menteri ekonomi itu gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi selain menyindirnya sebagai "banyak sangat formula."

Kata ahli MT Umno itu, seseorang menteri mesti “luar biasa” untuk mempertahankan kerajaan perpaduan hari ini.

Namun, kenyataan Puad tidak disenangi beberapa pemimpin termasuk Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang mengakui parti itu perlu mengekang pemimpin mereka sendiri daripada menyerang sesama anggota atau pemimpin dalam kerajaan.

Mengulas kritikan Puad, Rafizi mengingatkan pemimpin Umno wajar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong PH daripada mereka.

Jangan cakap soal minta kuota saja

Dalam perkembangan lain, Puad berkata bahawa pemimpin muda dalam Umno perlu henti meminta kuota sahaja.

"Pemimpin muda mesti menawarkan kepimpinan anak muda mahu. Tetapi, tidak tawar kepimpinan tak ada makna dan ini yang perlu diselesaikan sekiranya Pemuda Umno dan Puteri dapat melakukan iaitu menawarkan kepimpinan terbaik.

"Jangan hanya tahu erti mewarisi kepimpinan tetapi tidak tahu erti mewarisi perjuangan, maka dia tak akan ke mana tak akan selesai masalah.

"Pemuda jangan cakap soal minta kuota, bahawa mereka golongan yang istimewa perlu dilayan dan apabila tidak dilayan mereka merajuk. Mesti ada titik kepada apa yang orang muda mahu," katanya.

Lihat Komen
ADS