Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno minta k'jaan diberi ruang terjemah agenda pernah dijanjikan
Diterbitkan:  Jun 9, 2023 11:20 AM
Dikemaskini: 7:31 AM

PAU 2023 | Umno hari ini menggesa semua pihak agar memberi peluang kepada kerajaan Malaysia Madani untuk menterjemahkan setiap agenda seperti yang dijanjikan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata dalam tempoh tujuh bulan sejak kerajaan terbentuk, ada suara sumbang kedengaran apabila mereka mendakwa banyak "game changer" belum terlaksana.

"Berilah peluang kepada kerajaan ini untuk menterjemah agenda yang telah dijanjikan dan dirancang untuk dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam, yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata dalam konteks kerajaan perpaduan realiti politik kini ialah pembabitan pelbagai parti dalam kerjasama politik menjadikan ia lebih rencam.

Namun katanya, di sebalik kepelbagaian tersebut ia harus dilihat sebagai kekuatan apabila semua berupaya untuk bekerjasama atas persamaan.

"Sementara kita meraikan perbezaan dan persamaaan, Umno akan memastikan kekuatan yang dibina ini akan tetap berpaksikan kepada asas-asas negara yang selama ini menjadi pelindung keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.

"Bergerak ke hadapan, Umno yang kini bersama-sama di dalam kerajaan, mempunyai peranan besar," katanya lagi.

Jelas Ahmad Zahid antara peranan besar Umno itu ialah menjadi pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara agar Islam, Melayu/bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS