Pengusaha Taska kerugian lebih RM1 juta ditipu kenalan
Seorang pengusaha taska di Bukit Piatu, Melaka, mendakwa kerugian RM1.06 juta selepas terpedaya dengan ajakan lelaki untuk melabur dalam pelaburan tidak wujud.
Lelaki terbabit dikatakan baru dikenali mangsa kurang dari dua minggu di Instagram.
Ketua Polis Melaka Zainol Samah berkata wanita berusia 53 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan apabila akaun Instagram ditanda (tag) oleh akaun Tan Sau Fung yang mendakwa dari Taiwan dan kononnya menetap di Jepun, pada 27 April lepas.
"Sejak berkenalan, pengadu sering berhubung dengan suspek melalui talian LINE dan berkomunikasi secara lisan serta SMS sebelum hubungan mereka menjadi rapat dalam tempoh yang singkat.
"Pada 7 Mei lepas, suspek menawarkan mangsa supaya melabur dengan membeli barang yang kononnya dari AS menerusi laman sesawang https://everythingmallx.cc/," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata mangsa dikehendaki membeli dahulu barang yang hendak dibeli pelanggan sebelum menjual semula untuk mendapat keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap barang.
Zainol berkata akibat terlalu mempercayai suspek, wanita berkenaan melakukan 28 transaksi bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun berbeza - berjumlah RM1.06 juta - dalam tempoh 7 hingga 30 Mei lepas.
Dia berkata pada 30 Mei lepas juga mangsa menyemak komisen yang diperolehnya di laman sesawang berkenaan mencecah jumlah AS$200,000 namun mula curiga dan sedar ditipu apabila diarah membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan komisen tersebut.
Menurut Zainol pada keesokan hari, mangsa cuba mengakses laman sesawang berkenaan namun tidak boleh diakses dan akaun Instagram suspek juga ditutup.
"Justeru, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
- Bernama
/file/1337/6dc13edb3ce9c56b59e1345fa385f84c.jpeg)
