Tarikh sambutan Aidiladha diketahui 18 Jun ini
Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Aidiladha ialah pada petang 18 Jun bersamaan 29 Zulkaedah 1444 Hijrah, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah iaitu sambutan Aidiladha melalui radio dan televisyen.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh hari raya korban adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menyebut jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di lebih 20 lokasi di seluruh negara.
Lokasi itu ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Selain itu ialah Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Turut menjadi lokasi pilihan ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
Selain itu ialah Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.
Tidak ketinggalan menjadi lokasi melihat anak bulan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/7fab2eacb408cdd31b669b1efb6739fa.jpg)
