Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM lulus peruntukan RM300,000 untuk selenggara SK Jabi
Diterbitkan:  Jun 10, 2023 2:07 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini bersetuju meluluskan peruntukan RM300,000 untuk penyelenggaraan Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena dalam usaha menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan selesa kepada warga sekolah itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selain itu, projek pembinaan bengkel baru untuk mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang menelan belanja kira-kira RM700,000 turut akan dilaksanakan untuk pembangunan sekolah berkenaan.

"...dari awal memang komitmen sebagai kerajaan yang mengutamakan soal-soal pembangunan bangunan daif dan juga penyelenggaraan. Jadi untuk hari ini saya sempat meninjau di sekolah ini, dan melihat keperluan dan penyelenggaraan (yang diperlukan) di SK Jabi ini," katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek bina baru bengkel RBT di sekolah tersebut serta meninjau kawasan berkaitan hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah.

Sementara itu, Saifuddin berkata, projek bina baru bengkel RBT di SK Jabi merupakan satu daripada tujuh projek KPM yang akan dilaksanakan di daerah Pokok Sena.

"Tugas kami (sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah) memastikan bahawa apabila projek diluluskan, peruntukan diluluskan, pelaksanaan (projek) itu mesti berlangsung dengan jayanya, tak boleh lambat, tak boleh tertangguh, tak boleh jadi projek sakit yang kita tahu kesannya sangat merugikan.

"Tengok guru besar (SK Jabi) tadi sebut (ada) siling bocor, tandas uzur, menjadikan bangunan tidak selamat, ini semua kategori daif.

"Saya berterima kasih kepada YB Fadhlina sebab bagi tumpuan untuk membaiki dan naik taraf sekolah daif," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS