Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming berkata pihaknya akan membantu Umno "habis-habisan" dalam pilihan raya negeri akan datang.

Mengulas ucapan pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu lalu, Nga berkata semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu menumpukan usaha mereka untuk memastikan kestabilan dan tidak mengungkit kisah silam.

Nga berkata beliau menyokong kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua parti komponen mesti bersatu untuk mempertahankan kerajaan perpaduan.

"Presiden Umno pun dah 'move on' dan sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu Umno dan Umno membantu DAP untuk memperkukuhkan kerajaan Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara.

"Kita akan membantu Umno habis-habisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya, seperti dilapor Sinar Harian.

Kerjasama Umno dengan DAP dilihat merupakan subjek yang mencabar bagi pemimpin kedua-dua parti itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu menggesa DAP memohon maaf secara terbuka kepada Umno atas kecaman yang dibuat ketika mereka menjadi seteru.

Bagaimanapun, gesaan itu tidak begitu mendapat sambutan daripada kalangan pemimpin parti termasuk Zahid.

Akmal kemudiannya menjelaskan bahawa ucapannya merupakan manifestasi sentimen dari akar umbi Umno.

Dia berkata Pemuda Umno akan terus bekerjasama dengan semua sekutu, termasuk DAP.