PARLIMEN l Kerajaan tidak bercadang untuk merombak jadual waktu penerbangan di sebelah pagi khususnya yang hampir dengan solat subuh.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah bagaimanapun menyambut baik sekiranya syarikat penerbangan ingin melihat kembali perkara itu bagi memberi keselesaan kepada orang ramai untuk menunaikan solat.
"Penumpang kena peka, ambil wuduk awal dan solat dalam kapal terbang.

"Jadi secara spesifik nak mengubah jadual kapal terbang sebab waktu kita (solat) ni pun bertukar-tukar juga.
"Kita tidak menolak kalau berbincang sekiranya melihat keadaan semasa, saya yakin pihak syarikat penerbangan juga peka di sini.
"Untuk mengkaji alhamdulillah untuk kebaikan bersama," katanya ketika menjawab pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen, hari ini.

Terdahulu Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) membangkitkan persoalan sama ada kerajaaan sedia untuk mengkaji jadual waktu penerbangan khususnya yang bertembung dengan waktu solat subuh.
Afnan memaklumkan yang dia mendapat aduan termasuk daripada kakitangan syarikat penerbangan bahawa mereka terlepas solat subuh jika jadual penerbangan terlalu hampir dengan waktu solat.
