Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC bidas laporan media petik saksi prosiding LCS
Diterbitkan:  Jun 12, 2023 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membantah pelaporan media yang memetik saksi sebelum pendengaran jawatankuasa itu berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata artikel Utusan Malaysia bertajuk "Kurangkan kapal LCS jimat kos - Saksi" yang diterbitkan hari ini adalah melanggar Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat.

Peraturan parlimen ini menghalang keterangan dan bukti diterbitkan sebelum jawatankuasa itu melengkapkan laporannya di Dewan Rakyat.

" Saya amat kesal dengan artikel berkenaan kerana ia jelas dapat menganggu siasatan, rumusan serta syor PAC bagi prosiding ini," katanya.

Mas Ermieyati berkata dia telah menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat mengenai pelanggaran itu untuk mendapatkan panduan lanjut.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati menggesa saksi dan media supaya menghormati prosiding dan mendapatkan komen daripada jawatankuasa itu apabila melaporkan perkara berkaitan.

Tambahnya, PAC akan mengadakan sidang akhbar setiap Khamis apabila Dewan Rakyat bersidang untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang aktiviti mereka.

Artikel Utusan Malaysia itu memetik sumber tanpa nama yang didakwa memberikan butiran mengenai perkara yang diberitahu oleh tiga saksi kepada PAC semasa prosiding pada Sabtu.

PAC akan membentangkan laporannya akhir tahun ini dengan butiran perkembangan projek LCS

Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menghantar satu daripada enam LCS pada 2019. Bagaimanapun, tiada satu pun yang dihantar sehingga kini.

Pada 2022, PAC mengeluarkan laporan pertamanya mengenai projek itu, memperincikan cara projek itu tidak menepati spesifikasi Tentera Laut dan mengalami lebihan kos.

Bagaimanapun, penyelesaian pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap masalah itu adalah dengan mengambil alih BNS mengurangkan bilangan LCS kepada lima.

BNS kini perlu melaporkan kemajuan projek itu kepada PAC setiap suku tahun.

Lihat Komen
ADS