Perak sedia jual air terawat ke Pulau Pinang, tapi...
Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang yang mahu mendapatkan bekalan air dari negeri itu, namun hanya selepas dipastikan keperluan domestik mencukupi.
Menteri besarnya Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri ada menerima surat permohonan untuk membeli air terawat daripada kerajaan Pulau Pinang dua bulan lalu.
Bahkan, katanya, sebelum ini Lembaga Air Perak (LAP) sudah menjual air terawat ke Nibong Tebal di selatan Pulau Pinang.
“Untuk penjualan air terawat boleh (dibincangkan). Untuk air terawat, kita boleh jual di mana-mana. Mereka memerlukan air terawat, dia (Pulau Pinang) bersedia untuk membeli air terawat dan kita boleh bincang.
“Namun keputusan kita akan jual air terawat kepada negeri itu masih tertakluk kepada keperluan (di Perak) sama ada cukup atau tidak," katanya.
Saarani juga menambah keputusan sedia menjual air terawat atau tidak tertakluk kepada keadaan semasa di Perak.
Katanya jika persetujuan diberikan begitu saja dan tiba-tiba belakan di Perak sendiri tidak mencukupi, ia hanya akan mengundang kemaharan penduduk negeri terbabit.
“Maksudnya walaupun air terawat, ia masih tertakluk kepada cukup atau tak cukup untuk kegunaan kita (di Perak),” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
Saarani berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Jetutong, RSN Rayer, di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyarankan kerajaan Pulau Pinang mendapatkan bekalan air dari Perak.
Menurut Rayer, langkah itu perlu kerana Pulau Pinang kini bergantung kepada tiga empangan air yang disalurkan dari Sungai Muda di Kedah.
Saarani menegaskan, Perak memang memahami keadaan dihadapi Pulau Pinang.
Pada masa sama Adun Kota Tampan itu memberikan contoh bagaimana penumpang yang berdepan dengan suasana cemas dalam kapal terbang.
“[...] macam analogi yang saya buat, kalau naik kapal terbang, kalau jatuh corong oksigen (kerana situasi darurat), serkup muka sendiri dulu.
"Apabila sudah selamat muka sendiri baru tolong sangkut (corong oksigen) ke muka anak-anak yang lain.
“Tujuannya untuk keselamatan kita. Kita nak pastikan kegunaan untuk Perak mencukupi terlebih dahulu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/dae3aa196a8c4342af9728982831b0ea.jpg)
