Kejadian sebuah helikopter mendarat di kawasan lapang di Seksyen U11 Shah Alam untuk menghantar seorang pelajar sekolah swasta pada 17 April lalu telah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata helikopter berkenaan mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran kawasan Bukit Bandaraya.

“Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan kes diklasifikasikan sebagai refer other agency (rujuk ke agensi lain), kepada CAAM untuk tindakan selanjutnya terhadap kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata demikian ekoran maklumat tular di media mengenai kejadian sebuah helikopter mendarat untuk menghantar seorang pelajar dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park Shah Alam.

- Bernama