Vietnam dan Malaysia menetapkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$18 bilion menjelang 2025.

Timbalan pengarah Pusat Penggalakan Pelaburan dan Perdagangan (ITPC) HCM City, Tran Phu Lu berkata bandar raya itu akan terus menambah baik iklim perniagaannya dan memperkemaskan pembaharuan pentadbiran termasuk mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk pelabur Malaysia.

“ITPC di bawah pentadbiran HCM City kerap menganjurkan aktiviti untuk menyokong perniagaan untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta mengembangkan pasaran eksport.

“Vietnam dan Malaysia berikrar untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelancongan, kebudayaan dan sains dan teknologi antara sektor lain,” katanya pada Isnin,  lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Malaysia merupakan satu daripada 10 rakan dagang terbesar Vietnam. Perdagangan dua hala mencecah hampir US$14.8 bilion tahun lepas dengan eksport Vietnam ke Malaysia bernilai US$5.57 bilion dan import US$9.1 bilion.

Jumlah import dan eksport HCM City dengan Malaysia tahun lepas dianggarkan lebih US$5.4 bilion, meningkat 8 peratus tahun ke tahun.

Menurut VNA, setakat akhir Mac, Malaysia melabur dalam 329 projek di HCM City dengan jumlah pelaburan hampir US$4.9 bilion, menduduki tempat keenam daripada 116 negara dan wilayah yang melabur di bandar itu.

Kedua-dua negara juga merupakan anggota beberapa perjanjian perdagangan bebas generasi baharu, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

Eksport utama Vietnam ke Malaysia termasuk mesin dan peralatan serta bahagiannya, komputer, elektronik dan komponen, keluli, petroleum dan bahan kimia.

Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1973, yang dinaik taraf kepada perkongsian strategik pada 2015.

- Bernama-VNS/VNA