Umno Kelantan menasihati bekas pemimpinnya Annuar Musa supaya memberikan fokus untuk mempertahankan kerajaan PAS di negeri itu yang banyak terpalit dengan isu rakyat dan integriti.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata sesuai dengan kedudukan sekarang, Annuar boleh menggunakan kemampuannya untuk menjawab bagi pihak PAS.

Ketika ini, kata Zawawi, bekas menteri yang pernah dilantik sebagai setiausaha agung BN itu hanya sibuk melakukan serangan melalui "cerita-cerita sensasi" di pentas ceramah.

Langkah itu dakwanya adalah untuk menarik perhatian PAS Kelantan.

“Annuar sepatut tolong menjawab bagi pihak PAS Kelantan berhubung masalah air bersih yang tiada kesudahan, isu nepotisme dalam kerajaan negeri serta kelemahan urus tadbir dalam merancakkan ekonomi dan infrastruktur dalam negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Umno Kelantan sebagai mengulas ceramah Annuar pada Ahad lalu selepas dia diterima secara rasmi menyertai PAS.

Annuar merupakan antara tokoh utama yang menjadi pertaruhan Umno-BN bagi merampas Kelantan daripada PAS yang berkuasa di negeri itu sejak 1990.

Dahaga kuasa, jawatan

Selain Annuar, tokoh lain yang pernah diberi tugas sebagai pengerusi Umno di negeri itu ialah Mustapa Mohamed dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mustapa sudah menyertai Bersatu selepas Umno-BN gagal membentuk kerajaan pada 2018. Dia yang menjadi ahli parlimen Jeli selama beberapa penggal bagaimanapun tidak bertanding dalam PRU ke-15 tahun lalu.

Tengku Razaleih pula tewas buat kali pertama di kerusi Gua Musang yang diwakilinya sejak hampir 50 tahun lalu.

Ketika ini Umno Kelantan diketuai Ahmad Jazlan Yaakub.

Setakat ini tiada mana-mana pemimpin Umno yang berjaya menumbangkan PAS di Kelantan.

Untuk rekod Annuar dipecat Umno pada awal Dis tahun lalu.

Menurut Zawawi ketika ini tidak perlu Annuar berlagak sebagai juara di Kelantan kerana dianggap hanya seperti ayam jantan yang gah berkokok namun "ekor berlumur tahi".

"Propa sahaja lebih demi menutup kelemahan yang ada,” katanya.

Aksi Annuar itu, dakwa Zawawi, seperti skrip orang kecewa yang masih dahagakan kuasa dan jawatan dan sanggup menokok tambah sesuatu dakwaan demi memburukkan Umno yang 50 tahun sudah berjasa kepada dirinya.

“Nasihat saya kepada Annuar, usah pedulikan hal berlaku di pusat kerana kerajaan perpaduan sekarang ini sudah pun mencapai dua pert iga majoriti,” katanya.