Dua kampung Penan di kawasan hulu Baram enggan menyertai proses pengauditan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) untuk Unit Pengurusan Hutan (FMU).

Perkara ini dinyatakan oleh ketua kampung Long Lamai dan Ba ​​Lai dalam surat mereka kepada Samling Timber Malaysia, yang sedang menjalani audit untuk pensijilan pengurusan hutan lestari dalam FMU berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, Keruan, Bruno Manser Fonds dan The Borneo Project berkata masyarakat Long Lamai dan Ba ​​Lai mempunyai hak mereka ke atas hutan dan tanah mereka, selain tidak bersetuju mewakilkan mana-mana pihak.

Jelasnya, piawaian MTCS menjamin Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (FPIC) kepada masyarakat Orang Asal dan kampung-kampung berkenaan menuntut agar prinsip tersebut dipatuhi.

MTCS telah diwajibkan bagi semua hutan semula jadi di Sarawak sejak penghujung 2022.

"Penduduk Kampung Long Lamai dan Ba ​​Lai enggan menerima juruaudit semasa lawatan mereka.

“Dalam surat mereka menolak proses pembalakan dan pensijilan, penduduk kampung berkongsi peta yang menandakan sempadan wilayah mereka.

"Mereka menegaskan bahawa sempadan mereka digariskan untuk menghalang pengambilan balak, bukan untuk mengecualikan kumpulan Orang Asal lain di kawasan itu atau menafikan hak mereka terhadap hutan," kata kumpulan itu.

Dalam surat mereka kepada Samling, tok batin Bian Belare dari Long Lamai dan Aran Tuan Lajan dari Ba Lai berkata mereka menolak sama sekali perusahaan balak.

"Samling tidak dialu-alukan di kampung, hutan atau tanah kami," tulis mereka berdua.

Komeok Joe, ketua pertubuhan Penan Keruan berkata, masyarakat Penan telah lama menderita akibat masalah pembalakan.

"Kami tidak mahu turut serta dalam kemusnahan ini, sama ada ia dipanggil mampan atau tidak. Kampung Penan lain dalam Kawasan Hutan Baram Atas (UBFA) merasakan

perkara yang sama seperti Long Lamai dan Ba ​​Lai dan melihat terlalu banyak bahaya dalam menyertai pensijilan pengurusan hutan lestari," katanya.