Kelantan mahu teroka nadir bumi, elak bergantung pada pembalakan
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah memaklumkan, Kelantan mempunyai kandungan nadir bumi dan gas yang banyak sebagai simpanan untuk pembangunan negeri.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan menggubal dasar pengurusan serta pembangunan sumber mineral sebagai perancangan dalam tempoh lima tahun.
“Kita kena ada dasar yang mantap terutamanya dari segi pengurusan sumber hasil bumi dan sumber mineral nadir bumi.
“Mineral sebagai sumber masa hadapan kita, kalau kita boleh urus dengan baik baik, banyak benda boleh selesai,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily, semalam.

Mohd Amar berkata, sekiranya perancangan tersebut menjadi kenyataan kerajaan negeri dapat membangunkan Kelantan tanpa bergantung kepada sumber lain termasuk pembalakan.
Tegasnya, ketika itu Kelantan tidak perlu lagi menebang balak sebagai sumber hasil negeri.
“Sekarang hasil balak pun berada di nombor tiga dan bukan lagi hasil utama di Kelantan,” katanya dipetik sebagai berkata.
Sebelum ini media melaporkan jajahan Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2.56 juta tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.
Bekas menteri tenaga dan sumber asli Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata mengikut kajian awal, nadir bumi bukan radioaktif itu paling banyak ditemukan di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar manakala di Stong, Batu Melintang di Jeli dan Tanah Merah masing-masing seluas 80,000 dan 25,000 hektar.
Terdahulu Kedah antara negeri yang terpalit dengan kontroversi susulan penemuan logam unsur nadir bumi (REE) apabila wujud dakwaan hasil sumber semula jadi itu dicuri pihak tertentu.
Seramai 52 individu sebelum ini ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah selepas mereka dipercayai melakukan kegiatan mengorek REE secara haram di hutan simpan Bukit Enggan membabitkan warga asing yang berselindung menggunakan kebenaran kerajaan negeri kepada sebuah syarikat usaha sama tempatan dan luar negara untuk melakukan kajian.
Bagaimanapun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada 7 Feb lalu menegaskan perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa dan tidak wajar kerajaan negeri dituduh terlibat.
Selain itu Perak juga antara negeri yang mempunyai REE yang kerajaan negeri meluluskan projek perintis supaya membolehkan kajian dilakukan bagi melihat sama ada ia memberi kesan baik atau sebaliknya di lokasi yang didakwa sebagai kawasan sensitif alam sekitar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/359cdee1f93948597269b4e957b4d3bf.jpg)
