Malaysiakini mendapat sebutan khas dalam kategori inovasi kewartawanan dalam acara tahunan Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa).

Penghargaan itu diperoleh susulan projek khas Makmal Berita Kini berkaitan pilihan raya umum ke-15.

Projek itu menggunakan data dan grafik untuk mendidik pengundi berhubung semua yang mereka perlu tahu tentang pilihan raya.

Ini termasuk panduan untuk pengundi kali pertama, imbasan semula apa yang berlaku sejak Langkah Sheraton, dan perbandingan manifesto tiap-tiap gabungan.

Keputusan PRU15 turut dimuatkan pada halaman dan disiarkan secara langsung semasa proses penjumlahan pada malam pengundian.

"Projek ini cekap menggunakan data dan grafik untuk menggambarkan betapa rosaknya sistem pilihan raya Malaysia dan betapa pentingnya peranan kewartawanan data dalam menjelaskan pilihan raya negara," kata hakim Anugerah Sopa.

Makmal Berita Kini atau Kini News Lab ialah unit Malaysiakini yang pakar dalam kewartawanan data dan penceritaan inovatif.

Sementara itu, majalah atas talian yang berpangkalan di China Sixth Tone memenangi hadiah utama untuk karyanya mengenai pandemik Covid-19, bertajuk “Memory Project: The Shanghai Lockdown”.

Projek itu menggabungkan video, foto dan penceritaan media sosial untuk menceritakan pengalaman mereka yang terjejas oleh perintah kawalan akibat koronavirus.

"Islamophobia 365: Lynchings and Beyond" oleh laman web The Quint yang berpangkalan di India adalah satu lagi finalis dalam kategori itu.

Karya interaktif itu mendokumentasikan ucapan kebencian dan jenayah kebencian yang timbul daripada Islamofobia di wilayah Uttar Pradesh di negara itu.

Majlis anugerah itu berlangsung di JW Marriot di Hong Kong, malam tadi.

Sopa diasaskan di Hong Kong pada tahun 1982 untuk menggalakkan amalan terbaik dalam industri penerbitan, menetapkan tahap yang tinggi untuk kewartawanan, dan menjadi suara untuk kebebasan akhbar dan hak wartawan di Asia Pasifik.

Anugerah Sopa tahunan untuk Kecemerlangan Editorial ditubuhkan pada tahun 1999 untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada kewartawanan yang terbaik. Anugerah tahunan ini sangat diidamkan dan menjadi sorotan dalam kalendar media serantau.

Setiap tahun, lebih daripada 90 anugerah diberikan setiap tahun dalam pelbagai kategori, dengan Pelaporan Video dan Inovasi Kewartawanan sebagai tambahan terkini dalam senarai itu.