Dakwaan penyelewengan kewangan gegar IPF pimpinan Pandithan
Penyelewengan kewangan didakwa berlaku dalam parti Barisan Progresif India (IFP) dan mereka menuding jari ke arah Presidennya, Datuk MG Pandithan yang kini menghidap leukemia. Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan parti itu menafikan tuduhan tersebut.
Penyelewengan kewangan didakwa berlaku dalam parti Barisan Progresif India (IFP) dan mereka menuding jari ke arah Presidennya, Datuk MG Pandithan yang kini menghidap leukemia. Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan parti itu menafikan tuduhan tersebut.
Penyelewengan tersebut, jika dibuktikan, boleh mengakibatkan pendaftaran parti tersebut dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang telah menerima aduan mengenainya dan sedang menjalankan siasatan.
Dakwaan itu dibuat oleh beberapa pemimpin kanan parti itu, termasuk anggota jawatankuasa kerja pusat pusat (CWC) IPF.
Kebanyakan mereka telah bersama-sama dengan Pandithan sejak beliau menubuhkan parti itu pada 1990, termasuk rakan seperjuangannya yang dipecat daripada MIC pada 1988.
Seorang pemimpin veteran, JR Kemson (foto), memberitahu
malaysiakini
baru-baru bahawa para pemimpin berkenaan kecewa dengan cara Pandithan mentadbir parti tersebut.
"Kami mahu tahu apa yang berlaku terhadap semua wang yang telah disumbang oleh ahli-ahli kepada parti," katanya.
Menurutnya, Pandithan tidak pernah menyimpan sebarang akaun mengenai wang yang dikutip dari ahli sejak awal lagi.
"Kita telah mengadakan empat mesyuarat agung sejak 1990 dan tidak sekalipun presiden membentangkan penyata kewangan untuk dibahaskan," tegasnya.
Tabung bina bangunan
Begitu juga, katanya, Pandithan tidak pernah menyimpan akaun untuk sumbangan yang diterima bagi tabung pembinaan bangunan ibupejabat parti itu.
"Ahli-ahli diminta menyumbang, serta melalui skim loteri bernilai RM2.5 juta. Di samping itu, satu skim insurans diperkenalkan untuk mengutip wang bagi membina bangunan ibupejabat itu," katanya.
Kemson mendakwa, skim loteri tersebut tidak ada pemenang, manakala skim insurans itu pula dibatalkan setahun kemudiannya selepas ahli membeli polisinya.
"Setiap kali kita tanya mengenai jumlah wang yang telah dikutip, beliau akan berkata, semua akan jelas selepas bangunan ibupejabat itu dibeli dan boleh digunakan," katanya.
"Kini bangunan itu sudah siap (dekat tol plaza Sungai Besi). Tetapi bila kita bertanya kepadanya, beliau menyingkir kami daripada jawatan parti dan melarang kami menyoalnya," tambahnya.
Kemson telah disingkirkan daripada jawatankuasa kerja pusat parti itu awal tahun ini kerana tidak berhenti-henti bertanya mengenai wang tersebut. Beberapa orang lagi pemimpin turut disingkir, termasuk pemimpin peringkat negeri.
Presiden parti itu dikatakan telah menggunakan perlembagaan untuk melarang pemimpin yang disingkirkan itu daripada menyoal mengenai perkara itu.
"Selama ini, kami hanya berdiam diri, kerana menyangka semuanya dilakukan untuk kebaikan parti. Bagaimanapun, sekarang baru kami tahu parti berhutang kerana bangunan ibupejabat dan telah disaman oleh kontraktor kerana bayaran tidak dibuat," kata beliau yang turut disingkir.
Di mana wangnya?
Menurut dokumen bank yang dilihat oleh malaysiakini , jumlah hutang bank itu adalah kira-kira RM800,000.
Manakala seorang pemimpin negeri yang enggan namanya disebut berkata, pihak parti telah membeli bangunan itu dengan harga RM2.8 juta. Tabung bangunan tersebut pula berjumlah RM3 juta.
"Jadi, bagaimana pula ada hutang? Ke mana perginya semua wang tersebut dan mengapa Pandithan tidak memberitahu jumlah yang dikutip untuk membina bangunan tersebut," soalnya.
Kemson, yang turut mengutip lebih RM100,000 untuk tabung bangunan itu, telah menulis surat aduan kepada ROS mengenainya Mac lalu. Beliau juga akan menghantar surat yang sama kepada Perdana Menteri.
"Apa yang saya mahu tahu ialah ke mana perginya wang tersebut. Saya mahu bangunan ibupejabat IPF menjadi hak ahli-ahli yang telah bekerja kuat untuk menyumbang ke arah pembinaannya. Saya mahu mendedahkan siapa Pandithan sebenaranya," katanya.
Beliau mendakwa, Pandithan (foto) telah berjaya menyingkirkan sebahagian besar pemimpin kanan yang vokal dan telah menggantikan mereka dengan pemimpin muda.
Pandithan, yang menghadapi masalah kesihatan, mentadbir parti itu dengan bantuan V Senggutuan bekas setiausaha yang dilantik sebagai timbalan presiden tahun lalu dan dilihat sebagai orang kepercayaan presiden.
Akaun lengkap
Ketika dihubungi hari ini, Senggutuan berkata semuanya dilakukan mengikut peraturan.
"Pandithan bukan seseorang yang sanggup menipu sesiapa. Beliau telah berjuang lebih daripada orang lain untuk parti ini, untuk ahli serta untuk prinsip kita," kata Senggutuan.
Menurutnya, parti itu sedang dalam usaha menyelesaikan hutang pinjamannya dan apabila semuanya diuruskan, akaun mengenainya akan dikemukakan.
"Kita telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat dan bendahari telah diberi tugas untuk menyediakan akuan yang lengkap. Jadi harap tunggulah," katanya.
Beliau juga menggesa ahli-ahli yang tidak puashati supaya tidak membuat tuduhan yang melulu.
"Bagunan tersebut bernilai RM5 juta sekarang. Ia milik parti. Kita mahu ahli-ahli parti tahu bahawa kita melakukan yang terbaik untuk kepentingan mereka," tambahnya. Berita asal

