Konsert di IPTA tak perlu formula baru, kata pembangkang
Pembangkang menegaskan tiada keperluan mewujudkan strategi atau formula baru dalam penganjuran konsert di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata ini kerana garis panduan sudah sedia ada yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
“Dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok baru-baru ini, perdana menteri ada mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Rabu ini berhubung langkah memberi kelonggaran bagi penganjuran konsert di IPTA.
“Kenyataan yang diberikan itu adalah susulan daripada soalan mengenai video tular melibatkan pelajar lelaki dan perempuan sebuah institut pengajian tinggi awam di Terengganu yang menari ketika menyaksikan persembahan nyanyian oleh sebuah kumpulan.
“Hal ini sepatutnya boleh diambil perhatian dan diselesaikan di antara pihak-pihak yang berkaitan.
“Terengganu misalnya, sudah lama mengeluarkan garis panduan hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan negeri yang boleh dijadikan rujukan untuk pihak pengurusan universiti. Ia tidak memerlukan kepada mana-mana strategi dan formula yang baru,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang menyatakan pihaknya akan berbincang dengan KTP berhubung langkah memberi kelonggaran bagi penganjuran konsert di IPTA.
Terdahulu Anwar dilaporkan berkata, konsert di IPTA boleh diadakan tetapi dengan kawalan.
“Saya tidak beri kelonggaran untuk anak muda rosak akhlaknya. Jaga akhlak itu yang paling penting.
“Kemungkinan kerajaan akan longgarkan sedikit iaitu adakan program seperti kebudayaan namun ia diadakan secara kecil dan terkawal," katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Ahad lalu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/8dec99f2f53b5d2a619527c02876021f.jpg)
