Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nama Nik Abduh naik ke tidak? Tunggu hari penamaan calon - Hadi

PAS terus meninggalkan teka-teki sama ada Nik Mohammad Abdul Nik Abdul Aziz akan dinamakan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini atau diketepikan sekali lagi.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata perkara itu akan diketahui pada hari penamaan calon nanti.

“Tunggu hari penamaan calon, tengok nama dia (Nik Abduh) naik ke tidak. Insya-Allah (ada kejutan),” katanya pada sidang media selepas ceramah sempena pelancaran jentera PRN Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin serta barisan kepimpinan PAS Kelantan.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan dicalonkan atau sebaliknya.

Ia susulan terdapat dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan PAS cuba menghapuskan legasi Nik Aziz di dalam PAS.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, Nik Abduh digugurkan daripada menjadi calon selepas dua penggal menjadi wakil rakyat PAS bagi parlimen Pasir Mas dan Bachok.

Sementara itu ditanya sama ada terdapat bekas pimpinan parti Umno akan dinamakan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Hadi mengiyakannya.

“Ada, Insya-Allah. Tak perlu kita sebut kerana kita takut kena hijack tengah jalan dan macam-macam.

“Zaman ini zaman lanun banyak,” kata Abdul Hadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS