Loke tak hadir pelancaran kempen S'gor kerana tak sihat
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjelaskan ketidakhadirannya dalam pelancaran kempen Pakatan Harapan (PH) Selangor dan BN semalam atas sebab kesihatan.
Loke adalah antara beberapa pemimpin tertinggi yang tidak menghadiri acara itu.
“Saya tidak sihat, jadi selepas program bersama perdana menteri di Nilai di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), saya balik berehat,” katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.
Jelas Loke, dia menerima jemputan namun memberi mandat kepada Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo untuk hadir bagi menggantikannya.
Selain Loke, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi - yang masing-masing merupakan pemimpin tertinggi PKR dan Umno - juga pada mulanya dipromosi akan menghadiri Jelajah Mega Madani di Shah Alam malam tadi.
Namun, kedua-duanya tidak hadir.
Sebaliknya, tokoh-tokoh besar Perikatan Nasional (PN) seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan Dominic Lau semuanya menghadiri pelancaran kempen gabungan mereka peringkat Selangor awal hari yang sama.
Jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan bahawa perdana menteri tidak dapat hadir kerana terpaksa menangani perkara lain yang timbul pada "saat akhir".
Bagaimanapun, semakan dengan pejabat Zahid mendapati pengerusi BN itu tidak dijadualkan menghadiri program itu.
Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, yang dikatakan sepatutnya hadir berucap, juga tidak hadir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/c0576c49fcc050f6eca8f425b27dfa56.jpg)
