Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyelar tindakan pihak tertentu yang menyunting poster tajuk berita sebuah media tempatan bagi tujuan memfitnah.
Fahmi berkata terdapat penambahan ayat pada akhir tajuk berita itu yang berbunyi ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik. Kami takpe - Fahmi’ sedangkan tajuk asal ialah ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik - Fahmi.’
“Fitnah semakin berleluasa. Yang palsu ini disebar di WhatsApp dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini dengan memuat naik tangkap layar poster tajuk berita yang betul dan palsu," katanya.
Fahmi turut memuat naik pautan berita media tempatan tersebut iaitu mengenai peringatannya kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan agar tidak sesekali menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen untuk parti politik pada PRN akan datang.
Katanya lagi, dia memberikan peringatan itu ketika sesi libat urus bersama pegawai lapangan Jabatan Penerangan Kelantan malam tadi.
-Bernama
