Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneliti isu berkaitan kos pelajar yang dibayar elaun terlalu rendah ketika menjalani latihan industri.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menegaskan pelajar intern bukan buruh percuma seperti digariskan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa.

"Abim menggesa agar kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneliti isu ini supaya ia mendapat pertimbangan sewajarnya.

"Intern’ tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma, malah telah dibangkitkan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa pada Jun 2023 di Geneva supaya majikan tidak memberikan bayaran yang terlalu rendah kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri," katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian bagi merujuk keluhan seorang pelajar universiti awam untuk menjalani latihan industri atau ‘internship’ pada Oktober ini.

Pada 16 Jun lalu Malaysiakini memaparkan luahan Rashifa Aljunied, yang menyuarakan kebimbangan untuk bertahan dari segi kewangan sepanjang menjalani latihan tersebut.

Menyifatkan mereka bukan buruh percuma, Rashifa, 24, berkata permohonan latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil, malah ada syarikat yang tidak memberi elaun langsung kepada pelajar.

Dalam pada itu Muhammad Faisal berkata meskipun pemberian elaun tidak wajib di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265), namun prinsip keadilan dan manusiawi menuntut majikan untuk membayar elaun kepada pelajar bagi menampung kos minimum perjalanan dan perbelanjaan harian mereka.

“Abim juga menggesa pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar dapat membantu menjadi pemudah cara dengan pihak industri, seperti memastikan tempat praktikal adalah kondusif dan selamat untuk pelajar menimba dan menjana pengalaman berharga," katanya.

Dia turut menyarankan para pelajar mendapatkan maklumat berkenaan tempat latihan terlebih dahulu sebelum menjalani latihan agar isu bayaran elaun dapat diatasi di peringkat awal.