Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami bukan buruh percuma' - Mahasiswa bergelut lawan diskriminasi

Isu elaun untuk mahasiswa yang membuat latihan industri, atau lazim disebut sebagai intern, masih lagi menjadi perdebatan.

Pelajar sebuah universiti awam, Rashifa Aljunied, yang bakal menjalani latihan tersebut pada Oktober ini menyuarakan kebimbangan bagaimana dia dapat bertahan sepanjang menjalaninya.

Menyifatkan mereka bukan buruh percuma, Rashifa, 24, menyuarakan pandangannya selepas melihat permohonan latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil dan malah ada yang tidak memberi elaun langsung.

“Saya mahu perjuangkan isu ini sebab saya percaya intern perlu dibayar dan dilindungi.

“Saya juga mahu tingkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa bahawa tidak adil jika mereka tidak dibayar,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pelajar jurusan pengajian antarabangsa dan strategik itu menyuarakan bantahannya dengan membawa sepanduk tertera “intern bukan buruh percuma” di sekitar kampusnya.

Semalam, iaitu hari kedua bantahannya, Rashifa berkongsi di Twitter betapa isu tersebut mendapat sokongan ramai pelajar lain termasuk pensyarahnya sendiri.

Rashifa memberitahu Malaysiakini ramai pelajar yang menjalani latihan industri berdepan cabaran kewangan kerana perlu menanggung kos pengangkutan, makanan dan tempat tinggal.

"Penginapan sahaja sudah RM300, kalau elaun RM300 juga, macam mana saya nak tanggung pengangkutan dan keperluan seharian,” katanya.

Katanya lagi, dia pernah mendengar pengalaman buruk daripada rakannya yang telah menjalani latihan industri, antaranya dalam bidang perubatan dan perguruan.

“Saya tahu pendedahan dan pengalaman itu penting, tapi mereka kerja sampai 12 jam sehari. Tak masuk akal jika mereka tak dibayar langsung.

“Ada yang perlu membeli barang keperluan menggunakan duit sendiri, termasuk barangan untuk pembelajaran dan pengajaran mereka semasa menjadi guru praktikal,” dakwanya.

Syed Saddiq

Isu tersebut pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 7 Jun lalu, yang mencadangkan agar kerajaan menggubal Akta Latihan Amali Berbayar.

“Kita boleh buat dua perkara sama ada kita pinda akta pekerjaan ataupun kita adakan akta baru yang mewajibkan perkara ini,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

'Elak eksploitasi syarikat'

Dia berkata undang-undang itu bagi memastikan pelajar yang menjalani latihan industri, sama ada di agensi kerajaan mahupun syarikat swasta, dibayar elaun.

Mengulas lanjut, Rashifa berkata dengan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan perlu memberikan garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

“Kerajaan perlu menyediakan dasar yang jelas dalam memberikan jumlah elaun minimum supaya syarikat boleh jadikannya sebagai rujukan.

"Saya betul betul percaya kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, pelajar yang menjalani latihan industri juga perlu dilindungi undang-undang dalam aspek kerja yang lain, seperti persekitaran yng selamat dan waktu kerja yang wajar.

"Undang-undang perlu untuk melindungi intern agar kita dapat cegah eksploitasi daripada syarikat,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS