'Adakah pemimpin PAS akan jadi ketua menteri di P Pinang?'
Ketika PN terus yakin mampu menawan Pulau Pinang daripada PH, seorang pemimpin veteran gabungan itu membangkitkan kemungkinan jawatan ketua menteri akan disandang oleh pemimpin PAS.
Bekas ahli parlimen Tajung, Lim Kit Siang, berkata menjelang kedatangan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi PAS dan PN sedang bekerja keras untuk menguasai Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya usaha tersebut perlu digagalkan.
Menurut Lim memang sebelum ini Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sudah mengetepikan kebimbangan ramai mengenai kemungkinan gabungan itu akan memainkan isu-isu perkauman, agama, dan raja dalam kempen PRN akan datang.
"Tetapi, siapakah juga yang menuduh kononnya Pulau Pinang telah bertukar menjadi seperti Israel, dan kononnya azan menggunakan pembesar suara telah diharamkan di Pulau Pinang?" tanya Lim dalam kenyataan hari ini.
Ia merujuk kepada pandangan yang pernah disuarakan PAS - yang juga salah satu parti komponen PN - pada 12 Jun lalu yang menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.
Cabaran tangani kempen kebencian
PAS mengaitkan penguasaan tanah Palestin oleh rejim Zionis dengan situasi di Pulau Pinang dan membayangkan bagaimana ada penduduk di negeri itu bakal menjadi pelarian di negara sendiri.
Artikel PAS itu mendakwa kajian pada 2010 menunjukkan tahap pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus kesan daripada “rampasan bersistem” kerajaan negeri.
Untuk rekod Pulau Pinang mula ditadbir oleh DAP serta parti lain dalam Pakatan Rakyat pada 2008. Bersama DAP dalam gabungan itu ialah PKR dan PAS sendiri.
Bagaimanapun PAS meninggalkan gabungan berkenaan pada 2015 untuk bergerak sendirian sebelum menyertai PN yang diasaskan oleh Bersatu. Turut menyertai gabungan itu ialah Gerakan.
Sebelum ini Lim turut melontarkan persoalan mengenai masa depan Pulau Pinang dengan mengaitkan isu perlambangan digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2020.

Dalam kenyataan itu Abdul Hadi menggunakan analogi urusan pentadbiran kerajaan dengan pengembala lembu - merujuk kepada pemimpin Melayu-Muslim - atau khinzir - merujuk kepada bangsa lain.
Justeru Lim mempersoalkan jika PN berjaya menguasai Pulau Pinang, adakah Presiden Gerakan Dominic Lau akan diangkat menjadi ketua menteri yang baru.
Dalam kenyataan hari ini Lim berkata baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor, Sultan Kedah dan Sultan Terengganu semuanya menzahirkan hasrat mahu melihat PRN berlangsung dengan baik.
Justeru Lim yang turut pernah menjadi ahli parlimen Iskandar Puteri memuji langkah diambil Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, kerana meminta polis menumpukan usaha mengekang sentimen kebencian yang menyentuh perkauman, agama, dan raja-raja.

Dia turut menghargai pelantikan Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara dan Ayob Khan Mydin Pitchay (Timbalan Ketua Polis Negara).
"Kepada dua pegawai tertinggi polis yang baru ini, cabaran terbesar mereka buat masa ini ialah untuk memastikan enam PRN yang akan datang ini berjalan tanpa dicemari penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian," katanya.
Pada masa sama, Lim turut mempersoalkan jika semua parti dan calon-calon yang bakal bertanding bersedia untuk mencapai persetujuan mematuhi satu kod etika dalam kempen.
"Ini bertujuan untuk menolak penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dan bersetuju dengan satu mekanisme agar setiap penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dapat dibongkar dan dikecam segera," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/7fa6fbefd4ac26e8afe22aed711d5738.jpg)
