Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu larangan azan: YDP PAS mohon maaf pada DAP
Diterbitkan:  Jun 23, 2016 1:04 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim memohon maaf kepada DAP dan kerajaan Pulau Pinang berhubung kenyataannya yang mendakwa akan berlaku larangan azan di masjid-masjid sekiranya DAP memerintah.

Shaharuddin berkata, beliau membuat permohonan maaf tersebut kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan, lapor akhbar Sinar Harian.

"Saya tidak mahu berbalah dan memanjangkan isu ini. Jadi dengan rendah hati saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kenyataan itu khususnya DAP," katanya.

Sebelum ini, Shaharuddin didakwa memberikan tazkirah dan mengeluarkan kenyataan iaitu: 'Kalau DAP menguasai negara... nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah tuan-tuan'.

Ekoran kenyataannya itu, exco kerajaan negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim menggesa Shaharuddin menarik semula kenyataan berkenaan kerana didakwa sebagai fitnah.

Sehubungan itu, Shaharuddin turut menjelaskan, kenyataan tersebut dikeluarkan kerana melahirkan kebimbangan terhadap sikap DAP dan sekutunya yang menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini.

"Khususnya penentangan terbuka mereka terhadap Pindaan Rang Undang-undang 355 yang dibawa PAS di Parlimen baru-baru ini.

"Saya berharap penentangan mereka itu tidak akan membawa kepada larangan melaungkan azan di masjid-masjid.

"Ini kerana azan dan solat adalah sebahagian daripada syariat Islam yang tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak dalam negara ini," jelasnya.

 

Lihat Komen
ADS