Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Hadi stabil, dah dipindah ke wad biasa
Diterbitkan:  Jul 2, 2023 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil selepas ditempatkan di sebuah hospital kerana mengalami kemerosotan kesihatan. ,

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata ahli Parlimen Marang itu juga telah dipindahkan dari unit rawatan jantung (CCU) sebelum ini ke wad biasa.

“Beliau bagaimanapun masih lagi dalam rawatan dan pemerhatian doktor,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Amar, tiada sebarang lawatan atau ziarah dibenarkan buat masa ini bagi memberi ruang kepada Abdul Hadi untuk pulih.

"Semua tidak melawat, biarlah beliau rehat betul-betul dan kita doakan semoga beliau cepat sembuh,” ujarnya.

Keadaan kesihatan bekas duta khas bertaraf menteri itu dilaporkan merosot sejak sebelum Aidiladha lalu dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi catatan di Facebook pagi semalam.

Menurut Muhammad Khalil, Abdul Hadi telah berada dalam keadaan uzur ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu pada 27 Jun lalu.

Pun begitu katanya Abdul Hadi tetap menggagahkan diri untuk hadir program berkenaan.

Kali terakhir Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke hospital ialah pada Feb tahun lalu apabila dia mengalami sesak nafas, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS