Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap penjual dan pembeli anak patung seks menyerupai kanak-kanak di platform beli-belah dalam talian.

Free Malaysia Today memetik pemimpin DAP itu sebagai berkata bahawa mereka yang membeli anak patung itu memerlukan kaunseling kerana ia "bukan tingkah laku biasa".

“Polis perlu lihat siapa yang membeli alat mainan seks ini. Mereka bukan saja perlu bertindak terhadap penjual, tetapi juga pembeli,” kata Ahli Parlimen Segambut itu kepada pemberita pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Yeoh melahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai kerana memberi perhatian kepada isu ini dan atas kewaspadaan mereka dalam menjaga kesejahteraan kanak-kanak.

Pada 30 Jun, Shopee mengambil tindakan terhadap beberapa akaun yang didapati menjual anak patung seks menyerupai kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan, platform e-dagang itu berkata ia segera mengalih keluar penyenaraian berkenaan sebaik sahaja ia dimaklumkan mengenai perkara itu, selain mengenakan sekatan kekal ke atas akaun penjual.

Ia juga menasihatkan orang ramai untuk memfailkan aduan sekiranya mereka menemui penjual atau produk yang disenaraikan di platform yang tidak mematuhi dasar platform itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kementerian sebelum ini menerima aduan serupa dan memajukan perkara itu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Memiliki anak patung seks adalah antara kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang juga terpakai kepada penjual atau pengedar.