Malaysiakini menganjurkan sebuah forum yang mengundang wakil daripada gabungan politik negara bagi membincangkan "gelombang hijau" pada PRU15 dan jika momentumnya akan membolehkan PN meluaskan pengaruhnya dalam PRN yang bakal diadakan.

Forum itu bertajuk "PRN: Sejauh mana 'gelombang hijau'?" dan dijadual diadakan pada jam lapan malam, Khamis ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kampung Attap, Kuala Lumpur. KLSCAH merupakan penganjur bersama.

Ia akan menampilkan Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin, Adun PKR Elizabeth Wong dan Pengerusi Tetap Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan. Editor Malaysiakini Andrew Ong pula akan membincangkan dapatan analisis Kini News Lab terhadap data pilihan raya PRU15.

Analisis ini antara lain mendapati berdasarkan beberapa andaian, Kedah dijangka akan menjadi medan persaingan utama dalam PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat esok untuk memutuskan tarikh pilihan raya, dengan ramai menjangkakan ia akan dilaksanakan pada Ogos.

Selangor bukan lagi kubu PH?

Analisis Kini News Lab juga mendapati di Selangor, PH tidaklah sekukuh seperti andaian ramai, walau negeri itu sering dianggap sebagai kubu gabungan itu.

Melalui data daerah mengundi, PN didapati boleh mendapat majoriti mudah di 29 kerusi bagi menubuhkan kerajaan di Selangor jika ia dapat menarik sokongan separuh pengundi BN dan dua peratus pengundi PH pada PRU lalu.

Artikel interaktif yang membincangkan dapatan ini turut menyertakan kalkulator yang membolehkan pembaca meramalkan keputusan PRN berdasarkan tahap perubahan sokongan dan kadar keluar mengundi.

Anda boleh menyertai forum ini dengan mendaftar di sini.