Gelombang sokongan buat PN kian reda, sengit di Kedah dan Kelantan
PKR menangkis dakwaan kononnya terdapat gelombang peralihan undi dan sokongan kepada PN pada pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri dijangka bulan depan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata data awal kajian sehingga Jun lalu menunjukkan sokongan kepada PN semakin reda dan persaingan sengit akan berlaku di Kedah dan Kelantan.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata data tersebut menunjukkan pada PRN nanti pentadbiran PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.
“Data kajian tersebut akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang PRN,” katanya kepada bemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Menteri Ekonomi Bersama Warga Kementerian Ekonomi, di Putrajaya hari ini.
BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, pada 26 Jun lalu mendakwa gelombang PN yang berlaku pada PRU ke-15 lalu akan berterusan pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan daripada speaker DUN masing-masing.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri berkenaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/9f2686d99f028e6039f3a4cf14692163.jpg)
