Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pengundi di enam negeri akan menjalankan tanggungjawab pada 12 Ogos untuk keluar mengundi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  bdul Ghani Salleh dalam pengumuman hari ini berkata berkata tarikh penamaan calon bagi pelaksanaan PRN di enam negeri itu ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Beliau berkata jumlah pengundi yang akan terlibat dalam PRN di enam negeri berkenaan adalah kira-kira 9.7 juta.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan dalam PRN itu adalah daftar pemilih terkini, sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN.

Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN enam negeri berkenaan. 

Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor pada 23 Jun, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

Abdul Ghani berkata PRN di enam negeri itu akan melibatkan 245 DUN iaitu 36 kerusi DUN di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan. 

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 29 Julai ini sehingga 11.58 malam pada 11 Ogos,” katanya.

Abdul Ghani berkata urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 15 Jun lepas.

Tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 26 Julai bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 8 Julai bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 11 Julai bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

“Permohonan undi pos bagi semua kategori laitu Kategori 1A, Kategori 1B dan Kategori 1C dilaksanakan secara dalam talian (online),” katanya. 

Bagi menjalankan proses PRN, Abdul Ghani berkata SPR telah melantik 245 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 740 orang Penolong Pegawai Pengurus. 

SPR akan turut menubuhkan 252 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bertujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, katanya.

“PP-KPR itu dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya. 

Beliau berkata 173 pusat penamaan calon (PPC) dan 186 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan dalam PRN di enam negeri itu.

“Jumlah keseluruhan pusat mengundi yang akan digunakan pada PRN itu adalah 3,450 melibatkan 17,425 tempat mengundi atau saluran,” katanya.

Abdul Ghani seterusnya menyeru mereka yang ingin bertanding dalam PRN berkenaan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang berkenaan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat PRN seluruh negara sebelum hari penamaan calon.

“Mereka digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Adalah dingatkan bahawa kertas penamaan calon yang telah lengkap disi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR,”  katanya.

Abdul Ghani berkata SPR menawarkan mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRN bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempt pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya. 

Permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya telah dibuka pada 15 Jun 2023 dan akan ditutup pada 7 Julai ini namun permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui e-mel [email protected] dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui https://www.spr.gov.my.

- Bernama

Lihat Komen
ADS