Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berharap pimpinan PN dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu menyertai atau bekerjasama dengan gabungan tersebut pada plihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Presidennya Mukhriz Mahathir berkata Pejuang tidak mahu dilihat sebagai pengacau yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN itu tetapi penyatuan undi Melayu adalah cara terbaik bagi parti itu bersama PN berdepan dengan gabungan PH dan BN.

''Respons pasang surut daripada PN, malah pada mulanya saya sendiri ada berjumpa beberapa pemimpin PN.

"Memang dari awal kami optimistik dan menerima respons positif jadi... apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak kami rasa kecewa.

“Sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk “Persetujuan dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia” yang disampaikan oleh Prof Dr P Sivamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM), George Town.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ialah pada 12 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai ini.

- Bernama