Samsuri beri gambaran mahu terajui Terengganu lagi
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan dia mungkin kekal menjadi menteri besar di Terengganu jika PAS-PN mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Menganggap masih banyak yang perlu dilakukan selepas lima tahun menjadi menteri besar, Ahmad Samsuri berkata dia sukar untuk menjelaskan sama ada tempoh tersebut memuaskan hatinya atau tidak.
“Payah saya nak jawab berpuas hati atau tidak, tetapi kita sebagai manusia, seharusnya diajar untuk melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa sehingga bila-bila.
“Saya rasa banyak lagi perkara yang saya ingin laksanakan di luar daripada apa yang kita janjikan kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat di Terengganu," katanya.
Dia yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang pada 2018 berkata, dari segi itu dia masih belum berpuas hati.
"Saya rasa saya bersama dengan rakan-rakan yang lain (berhasrat) untuk terus memegang amanah bagi melaksanakan agenda-agenda yang lebih banyak lagi,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran kad laporan prestasi 2018-2023 dan buku kejayaan Terengganu 2018-2022 di Kuala Terengganu, hari ini.
Sebelum itu Ahmad Samsuri ditanya sama ada dia berpuas hati atau sebaliknya sepanjang mentadbir Terengganu selama penggal lalu.
Tambahnya jika PAS-PN terus diberikan mandat selepas PRN pada 12 Ogos nanti mungkin lebih banyak agenda yang boleh dilakukan untuk negeri itu.
“Insya-Allah selepas ini kita akan teruskan dengan agenda-agenda dan mungkin akan lebih berpuas hati,” katanya.
Terengganu mempunya 32 kerusi DUN dan PAS menguasai 22 daripadanya melalui PRU ke-14.
Baki 10 lagi kerusi dimenangi calon BN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/de64d6013d43d75810baf8fc6a1c7ea3.jpg)
