Ketua Pemuda Umno Ketereh yang juga anak kepada bekas pemimpin Umno Annuar Musa menegaskan dirinya masih belum dikenali ramai untuk tampil menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Afiq Amani Annuar berkata secara jujur dia menyedari kedudukan sebagai ketua pemuda Umno bahagian yang baru dilantik.

“Secara jujur saya sedar kedudukan saya. Saya baru dilantik sebagai ketua pemuda dam masih ramai belum mengenali saya.

“Di Kelantan jika mahu menang, penting calon itu terbukti khidmatnya dan dikenali pengundi. Lebih ramai yang lebih layak jika BN serius mahu menang. Kita buat yang terbaik,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan dia antara 155 nama yang dihantar BN Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan nanti.

Ketua Penerangan Umno negeri Zawawi Othman mengesahkan nama Afiq Amani diangkat kepimpinan Umno Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

Menurutnya, Afiq Amani antara orang muda yang disenaraikan nama dan terserah kepada pucuk pimpinan parti memutuskannya memandangkan lima nama yang dihantar bagi setiap DUN.

Terdahulu pentas politik di Ketereh menarik perhatian selepas Annuar yang sebelum ini dipecat Umno menyertai PAS, manakala anaknya terus bersama Umno.

Kelibat bekas menteri berpengalaman itu dilihat aktif menyampaikan ceramah-ceramah di pentas Perikatan Nasional (PN) di seluruh negara khususnya program di Kelantan.