Kumpulan pencinta alam sekitar RimbaWatch mahu polis segera membebaskan seorang tahanan Orang Asli dari Kampung Ganoh, Pahang, susulan konfrontasi dengan wakil dari sebuah syarikat pembalakan.

Disokong oleh 10 pertubuhan masyarakat sivil lain, RimbaWatch berkata juruukur yang didakwa mewakili syarikat itu pada 3 Julai lalu cuba memasuki Kampung Ganoh tetapi mendapat bantahan masyarakat Orang Asli.

Kampung Ganoh adalah antara tempat cadangan untuk dijadikan tapak pembalakan seluas 297 hektar yang juga merupakan kawasan tadahan air.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki Orang Asli dikatakan telah menendang tayar kereta juruukur berkenaan.

Kumpulan itu berkata penduduk pada keesokan hari membuat laporan polis berhubung pertengkaran yang tercetus itu.

Bagaimanapun, sebaliknya apabila polis datang menyiasat di Kampung Ganoh, mereka membawa bersama lelaki berkenaan dan isterinya ke balai polis di Kuala Rompin.

Lelaki itu ditahan dan direman selama tiga hari sehingga 7 Julai ini.

“RimbaWatch mempersoalkan bagaimana Jabatan Perhutanan Pahang boleh meluluskan hutan tadahan air untuk penebangan balak.

"Selain itu, (bagaimana jabatan tersebut) boleh membenarkan sebuah syarikat membuat persiapan untuk pembalakan di hutan tadahan air; dan bagaimana pihak berkuasa Pahang boleh menangkap anggota masyarakat orang asli kerana mempertahankan tanah mereka daripada penebangan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menuntut lelaki Orang Asli tersebut dibebaskan segera dan pihak polis serta syarikat pembalakan memohon maaf kepadanya.

Tambahan pula, memandangkan pembalakan tidak dibenarkan di kawasan hutan tadahan air, kumpulan itu turut meminta SPRM menyiasat syarikat pembalakan terbabit.

Mereka juga menggesa Jabatan Perhutanan Pahang untuk membatalkan sebarang konsesi atau kelulusan yang telah diberikan; untuk menghalang syarikat itu daripada memasuki Hutan Simpan Bukit Ibam; atau  mana-mana syarikat lain daripada memasuki Kampung Ganoh.

[Baca berita penuh]