Semakan Bung Moktar, Zizie Izette dikembalikan ke Mahkamah Tinggi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad mendapat peluang dalam permohonan semakan jenayah mereka berhubung perintah supaya mereka membela diri dalam kes rasuah RM2.8 juta.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menghantar semula permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Dua lagi hakim yang bersidang bersama ialah Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.
Ketika mengumumkan keputusannya, Hakim Hadhariah memetik Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat.
Katanya, ini sekiranya terdapat keperluan sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.
Menurut Hakim Hadhariah bercanggahan dengan hujah pihak pendakwaan, peruntukan itu tidak menyediakan cara khusus untuk membuat permohonan semakan jenayah tersebut.
Ini, katanya, berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tahun lalu yang menolak permohonan Bung dan Zizie semakan tanpa mendengar meritnya selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang menyatakan permohonan difailkan menggunakan mod yang salah.
“Selepas membaca Seksyen 35, jelas kepada kami bahawa tiada mod khusus yang disebut tentang cara semakan boleh dilakukan.
“Jadi, ini boleh dilakukan oleh Mahkamah (Tinggi) atas usulnya sendiri dengan membaca akhbar, mendapatkan fail (dari mahkamah bawahan), atau mana-mana pihak yang berminat dengan prosiding itu, memfailkan permohonan semakan. Dalam kes ini, permohonan semakan difailkan oleh pasukan peguamnya pada peringkat kes prima facie.
"Menjadi tugas Mahkamah Tinggi untuk menimbang meritnya, namun, dalam hal ini, permohonan itu dibatalkan tanpa meritnya didengar,” kata Hadhariah, yang kemudian memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar merit permohonan semakan jenayah pasangan itu.
Bagaimanapun, hakim itu tidak menetapkan sama ada permohonan tersebut perlu didengar oleh hakim yang sama atau hakim berlainan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, manakala Bung Moktar dan Zizie Izette masing-masing diwakili peguam, M Athimulan and K Kumaraendran.
Pada 9 Disember tahun lalu, pasangan terbabit gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah.
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi ketika itu, Azhar Abdul Hamid, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan terbabit.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Bung Moktar, 66, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Dia didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah sama, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 46, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/9133fe3090e50b23c8abfd01cfbc8847.jpg)
