Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak rayu keputusan parlimen K T'ganu demi rakyat
Diterbitkan:  Jul 8, 2023 2:24 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

PAS berkata mereka memutuskan untuk tidak merayu atas keputusan mahkamah pilihan raya yang membatalkan kemenangan calon parti itu di Kuala Terengganu atas pertimbangan memikirkan nasib rakyat.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata jika rayuan dikemukakan masa yang lama - sehingga enam bulan - diperlukan untuk diselesaikan pula di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sepanjang tempoh itu, katanya, rakyat di Kuala Terengganu mungkin terabai apabila tiada ahli parlimen yang mewakili mereka.

"PAS merasakan sebagai parti dan kerajaan negeri yang bertanggungjawab kami tak mahu rakyat terabai menyebabkan lima hingga enam bulan ini tak ada ahli perlimen," katanya kepada media di Kuala Terengganu hari ini.

Terdahulu bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat di Terengganu.

Tambah Takiyuddin, PAS juga berpendapat berdasarkan keputusan mahkamah pada 27 Jun lalu tidak ada halangan untuk calon yang sama - Ahmad Amzad Hashim - bertanding sekali lagi di kawasan itu.

Katanya hakim hanya membatalkan kemenangan PAS namun tidak melibatkan calon terbabit.

Justeru katanya PAS tidak ada masalah untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan kemungkinan besar Ahmad Amzad akan kekal sebagai calon di situ.

Ahmad Amzad Hashim (kiri)

Takiyuddin juga yakin mereka tidak bermasalah untuk mengekalkan kerusi tersebut berdasarkan kepada jumlah undi yang "tidak banyak" diterima Ahmad Amzad pada 19 Nov tahun lalu,

"Bukan takbur tapi berdasarkan sokongan rakyat dan pengundi Kuala Terengganu, saya optimis," katanya.

Untuk rekod dalam PRU lalu Ahmad Amzad mengalahkan tiga calon lain dengan meninggalkan pencabar terdekanya, Mohd Zuber Embong, dengan perbezaan 40,907 undi.

Mohd Zuber memperoleh 22,109 undi manakala pula Ahmad Amzad mendapat 63,016 undi.

Sementara itu Takiyuddin berkata PAS berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menetapkan tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu bersekali dengan pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Katanya dengan pendirian PAS tidak merayu keputusan mahkamah baru-baru ini, tidak ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan oleh SPR.

"Saya yakin SPR ada kemahiran untuk melaksanakan pilihan raya itu serentak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS