Prabagaran tarik diri dari bertanding timbalan presiden Gerakan
Timbalan speaker Gerakan, V Prabagaran membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu.
Perkara itu diumumkan calon bagi jawatan presiden Gerakan, Liang Teck Meng.
Liang berkata keputusan Prabagaran disebabkan pihak tertentu mahu “membunuh demokrasi” dalam parti.
“Ia adalah hari yang menyedihkan bagi Gerakan. Pemimpin tertentu mahu membunuh demokrasi dalam Gerakan.
“Kenapa mereka takut dengan pemilihan parti? Mengapa tidak bertanding secara adil dan biarkan perwakilan memilih pemimpin?
“Mengapa berusaha keras untuk tekan rakan gandingan saya supaya berhenti di separuh jalan?
Liang berkata dia tertanya-tanya apakah pihak lawannya mahu sembunyikan sesuatu dengan memastikan dia tewas dalam pertandingan itu.
“...Adakah parti ini sangat bergantung kepada panglima perang sehingga semangat demokrasi sedang dibunuh. Saya sedih dan saya kecewa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini dilaporkan Liang yang akan merebut jawatan nombor satu parti itu akan bergandingan dengan Prabagaran yang akan bertanding jawatan timbalan presiden.
Tiga calon lain akan merebut jawatan presiden Gerakan termasuk penyandangnya Dominic Lau yang akan berganding dengan timbalannya, Oh Toh Keong.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Liang berkata dia akan terus bertanding walaupun gandingannya menarik diri.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan rundingan bagi memastikan pertarungan satu lawan satu menentang Lau gagal membuahkan hasil.
Lau dipilih sebagai presiden Gerakan pada 2018 dan akan mempertahankan gelarannya buat kali pertama.
Kemenangan bagi jawatan itu penting kerana presiden mempunyai kuasa untuk menentukan calon daripada parti itu bagi pilihan raya enam negeri akan datang.
/file/1352/379b5bd9dc8616c6ed19626e443beb61.jpeg)
