Kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menamatkan amalan perniagaan 'Ali Baba'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata amalan itu memberi kesan negatif kepada ekonomi, menyebabkan kira-kira satu peratus kerugian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

'Ali Baba' ialah satu bentuk amalan mencari sewa, di mana perniagaan yang memenangi projek dan kontrak kerajaan, mensubkontrakkan kerja sebenar kepada orang lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata amalan sedemikian meliputi pemerolehan, pelesenan, permit, kuota, dan pemberian subsidi dan geran.

Dia berkata perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.

Tugas menggubal dasar dan perundangan untuk menghapuskan amalan 'Ali Baba' akan diketuai oleh Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Anwar berkata MTEN turut membincangkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) hari ini.

Dia berkata fasa pertama peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui akan melibatkan sepuluh projek perintis perdana bernilai tinggi yang dianggarkan menelan belanja RM25 bilion dan akan mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi.

Kata Anwar, projek perintis itu juga dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak lebih 10,000 gigagram secara kumulatif.