Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata belum ada keputusan dibuat mengenai calon ketua menteri Pulau Pinang.

Ini berlaku selepas Gerakan memberitahu DAP untuk berterus terang mengenai calonnya, memetik laporan berita yang mendakwa parti itu mungkin mencalonkan timbalan pengerusi kebangsaannya Gobind Singh Deo untuk jawatan itu.

“Tiada keputusan dibuat sekarang. Saya baru jumpa Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow (Kon Yeow). Pelbagai persiapan dan strategi kita bincangkan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

“Tetapi sudah tentu, dalam setiap pilihan raya, kami menggunakan strategi berbeza untuk memaksimumkan peluang kami untuk menang dan juga untuk memastikan kepimpinan yang kukuh terutamanya di Pulau Pinang kerana kami adalah kerajaan negeri,” katanya.

Dia bercakap kepada pemberita selepas forum ‘Political Stability in Hung Parliament’ di Universiti Sunway di Selangor hari ini.

Ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow

Tambah Loke, senarai calon DAP Pulau Pinang masih belum dimuktamadkan.

Awal hari ini, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata adalah penting bagi DAP untuk mendedahkan calon ketua menterinya kerana ia akan mempengaruhi pembangunan masa depan Pulau Pinang.

Memandangkan DAP adalah penyandang kerajaan negeri, dia berkata rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika parti itu menang sekali lagi, sama ada Gobind akan menjadi ketua menteri atau Chow akan dilantik semula.

Sabtu lalu, Loke memberitahu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan supaya menjaga tepi kain parti sendiri selepas pemimpin Bersatu itu mendakwa DAP merancang untuk menggantikan Chow dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Khabar angin juga tersebar bulan lalu bahawa DAP sedang melobi supaya pengerusi parti Lim Guan Eng kembali sebagai ketua menteri.

Chow, yang berkhidmat sebagai ketua menteri sejak 2018 selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, sebelum ini menyatakan dia bersedia untuk meneruskan jawatan itu.

Perkara 7 Fasal 2(a)(ii) perlembagaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan bahawa ketua menteri hendaklah dilantik daripada kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu selama dua penggal.