Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan yakin projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar di Seberang Perai akan menjadi kenyataan.

Bercakap pada pelancaran jentera pilihan raya BN-Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang malam tadi, Loke berkata Putrajaya telah memberi kelulusan untuk projek LRT di pulau itu yang menghubungkan Bayan Lepas ke George Town.

“Tetapi Perdana Menteri Anwar Ibrahim pesan kepada saya, dia kata LRT tak boleh hanya di pulau sahaja, mesti sambungkan Pulau Pinang sampai ke Seberang Perai.

"Dengan persetujuan perdana menteri merangkap menteri kewangan, kita yakin kita boleh melaksanakan projek LRT Pulau Pinang yang berhubungan pula dengan Seberang Perai.

"Ini sudah tentu akan memudahkan rakyat Pulau Pinang. Jadi ini sudah tentu merupakan satu projek yang utama akan membangkitkan ekonomi,” katanya semasa majlis yang diadakan di tapak ekspo Seberang Jaya.

Pada bulan Januari, portal kerajaan Pulau Pinang, Buletin Mutiara melaporkan bahawa ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bahawa kerajaan negeri sedang menunggu perbincangan dengan Anwar dan Loke berhubung cadangan sambungan LRT Butterworth-George Town.

Chow menyebut bahawa projek itu akan berfungsi sebagai lanjutan daripada projek LRT pulau itu dan menghubungkan laluan kereta api KTMB dari Butterworth ke Bayan Lepas.

Pada Mei lalu, Loke menyebut bahawa projek LRT mungkin dimulakan lebih awal daripada jangkaan, memandangkan tempoh pembinaan projek itu boleh mengambil masa lima tahun.