Menteri Besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini dia belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Dalam catatan Facebook hari ini, Sanusi menyifatkan laporan berita yang dia sedang disiasat sebagai “naratfif jahat’ dan “mendahului proses”

“Naratif jahat. Berita 'Sanusi disiasat SPRM' dan hebahan beritanya mendahului proses.

"Setakat ini belum ada lagi pegawai SPRM datang jumpa atau panggil saya untuk menyiasat kes REE. Tidak ada.

"Tapi hebahan dan berita telah tersebar sejak 2-3 hari lalu... bukankah kelihatan pelik dan janggal perkembangan ini? Nak cari kebenaran dan menegakkan undang-undang atau nak rosakkan imej?

"Saya rasa tujuan sebenar mereka ialah nak merosakkan kredibiliti saja untuk cari untung buat modal PRN. Salah atau betul belakang kira. Madani ka madanon?" katanya.

Semalam, Bernama memetik sumber SPRM memaklumkan isu ini telah dilaporkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada Mac lepas dan penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik di mana kerja-kerja perlombongan haram dilakukan secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan SPRM Kedah telah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan REE haram awal tahun ini dan telah memanggil beberapa saksi, namun perkembangan terkini kertas siasatan itu tidak diketahui.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ahmad enggan mengulas lanjut apabila ditanya jika SPRM akan memanggil menteri besar terbabit dalam masa terdekat.

Pada Sabtu lalu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Islam mendakwa Sanusi didenda RM500,000 tahun lepas berhubung kecurian REE di Kampung Chong, Sik, Kedah.

Menafikan perkara itu, Sanusi mendakwa kompaun itu bukan dikeluarkan kepada dirinya atau Menteri Besar Diperbadankan (MBI) tetapi kepada pihak ketiga. Dia juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin kerana membuat dakwaan itu.

Menurut laporan New Straits Times, Sanusi berkata individu yang dikenakan denda itu adalah seorang lelaki dari Kuala Krai, Kelantan.

Dia dilaporkan telah menunjukkan kepada media dokumen sokongan berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, Saifuddin tetap dengan pendiriannya dan menyatakan tiada mana-mana pihak yang terlibat boleh menafikan pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah mengeluarkan denda kepada MBI Kedah.