PRN: Bersih cadang garis panduan untuk cegah salah guna sumber k'jaan
Bersih mencadangkan garis panduan baru untuk mengekang penyalahgunaan sumber kerajaan semasa tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN).
Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya menegaskan bahawa kerajaan pusat mempunyai kelebihan berbanding kerajaan negeri sementara dengan mempunyai akses kepada sumber untuk digunakan berkempen.
“Adalah jelas bahawa kerajaan negeri berada dalam mod sementara dan tidak sepatutnya menggunakan sumber negeri untuk berkempen atau membuat sebarang peruntukan besar, (tetapi) kurang jelas mengenai peranan kerajaan persekutuan yang tidak berada dalam mod sementara.
"Walaupun tiada undang-undang yang melarang kerajaan persekutuan berfungsi semasa PRN, semua parti harus bersaing secara adil supaya pengundi tidak terlalu dipengaruhi oleh parti yang mempunyai akses kepada sumber dan jentera negeri," kata Pengerusi Bersih Thomas Fann semasa sidang media dalam talian di Kuala Lumpur hari ini.
Garis panduan yang dicadangkan berkisar tentang prinsip berkaitan syarat, kempen, dan calon yang dikatakan Bersih boleh digunakan untuk mengawal selia aktiviti kerajaan pusat.
Tiada syarat perlu disertakan untuk memenuhi sebarang pengumuman atau peruntukan yang dibuat kepada pengundi seperti parti atau calon yang menang dalam pilihan raya akan datang. Sebarang komitmen yang dibuat oleh kerajaan persekutuan harus ditunaikan tanpa mengira keputusan PRN.
Tiada kempen semasa majlis rasmi persekutuan di mana rujukan dibuat kepada pilihan raya akan datang, dan nama parti atau calon disebut, dan simbol atau bendera parti dipaparkan. Tiada peruntukan perlu dibuat secara terpilih untuk kawasan pilihan raya bagi membantu pihak tertentu merampas atau mengekalkan kawasan pilihan raya tersebut.
Tiada calon harus hadir dalam majlis kerajaan persekutuan melainkan mereka juga menteri persekutuan apabila pengumuman khas atau peruntukan dibuat.
Selain itu, kumpulan itu berkata bahawa garis panduan itu boleh digunakan untuk kerajaan bukan sementara semasa pilihan raya persekutuan.
Ketika membincangkan pelaksanaan jangka panjang garis panduan itu, Thomas menekankan bahawa perkara utama terletak pada memastikan orang ramai dimaklumkan mengenai perkara itu supaya mereka boleh meletakkan tanggungjawab itu kepada kerajaan.
“Mereka (ahli politik) tidak takut dengan Bersih tetapi mereka takut kepada pengundi. Jika pengundi sedar bahawa ini (penyalahgunaan sumber) adalah tidak adil, maka ahli politik akan mengikut garis panduan itu,” katanya.
Thomas turut menyentuh kebimbangan netizen mengenai Bersih yang disifatkan "berdiam diri", dengan memberi jaminan bahawa kumpulan itu masih memantau aktiviti pilihan raya dengan teliti.
Bagaimanapun, dia berkata kumpulan itu memilih untuk tidak "menyerang" parti dan ahli politik secara membuta tuli tanpa alasan yang betul atau sokongan undang-undang.
“Kami tidak mahu membidas atau mengkritik tanpa penjelasan atau tanpa memberikan penyelesaian.
"Kita perlu memikirkan isu itu sebelum dibawa ke media sosial untuk mengkritik sesiapa, bukan hanya kerajaan," tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/7aafc938887d02346d295bb278951465.jpg)
