Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan mengumumkan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Keputusan itu sekali gus menjadi cubaan pertama PSM dan Arutchelvan di DUN Kajang yang mempunyai sejarah penting kepada perjuangan parti berkenaan.

Dalam sidang medianya di Kajang hari ini, aktivis veteran itu turut mengemukakan tawarannya sebagai calon wakil rakyat kawasan berkenaan.

Jika terpilih, kata S Arutchelvan, dia berjanji untuk memberikan lebih tumpuan kepada penstrukturan semula bandar di DUN terbabit kerana ia dianggap sudah terlalu banyak projek pembangunan baru.

“Sebenarnya Kajang sudah agak maju, jadi idea kita ialah tidak mahu membuat pembangunan lagi di Kajang.

“Apa yang kita perlukan di Kajang ialah bagaimana untuk menstrukturkan semula bandar ini.

"Semua rumah pangsa kos rendah di Kajang perlu diambil alih oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), juga (ketika ini) tidak projek perumahan yang menawarkan harga di bawah RM100,000.

"Jadi kami berpendapat satu-satunya perkara yang ingin kami lakukan di Kajang ialah menambah baik kemudahan perumahan dan kehijauan di sekitar kawasan ini," katanya.

Mengulas lanjut, Arutchelvan - atau lebih dikenali ramai sebagai Arul - percaya sistem pengangkutan awam di kawasan Kajang juga perlu ditambah baik.

Katanya, meskipun terdapat kemudahan perkhidmatan seperti sistem transit aliran massa (MRT) dan Komuter KTM, ada beberapa kawasan tertentu masih tidak dapat diakses.

Arutchelvan juga berikrar akan menangani masalah banjir kilat yang didakwanya kerap berlaku di beberapa kawasan di DUN terbabit sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat di situ.

"Ada isu perparitan, (disebabkan) tidak cukup dana diperuntukkan. Jadi, kita akan mendekati isu seperti ini," katanya.

Tawar ‘suara ketiga’ di Selangor

Sementara itu, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar menggesa pengundi Kajang mengundi Arutchelvan supaya penduduk di kawasan terbabit mempunyai wakil yang boleh memperjuangkan isu mereka kepada kerajaan.

Katanya, berdasarkan tinjauan terbaru data menunjukkan PH masih akan kekal memerintah Selangor selepas PRN pada 12 Ogos ini namun berisiko kehilangan beberapa kerusi.

Dalam keadaan begitu, katanya, PSM boleh menjadi 'suara ketiga' di dalam dewan undangan negeri (DUN).

“Jadi persoalannya sekarang, tidakkah kita mahu ada satu atau dua wakil daripada PSM dan Muda untuk memperjuangkan isu-isu yang penting untuk rakyat?

"Adakah kita mahu ada suara ketiga yang akan memperjuangkan alam sekitar? Pengundi di Kajang mesti berani memilih," katanya.

Arutchelvan adalah calon keempat yang diumumkan PSM untuk mewakili parti itu dalam PRN tidak lama lagi.

Terdahulu parti itu sudah mengumumkan calon mereka untuk DUN Dengkil, Meru dan Kota Damansara.

PSM menjalin kerjasama dengan Muda untuk menawarkan kuasa ketiga bagi menghadapi PH-BN dan PN.

Secara keseluruhan DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dan setakat ini hanya Muda dan PSM sudah mengumumkan calon masing-masing menjelang hari penamaan pada 29 Julai ini.

[Baca berita asal]