PAS dah sedia hadapi apa saja keputusan kes Sanusi
Selain bertekad mengekalkan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai calon utama pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, PAS juga sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung kes mahkamah dihadapi menteri besar sementara Kedah itu.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi gambaran bahawa nasib dan kedudukan Sanusi hanya akan ditentukan selepas proses perbicaraan selesai nanti.
“Kita ready (dengan) apa-apa yang bakal berlaku sebab keputusan itu mengambil masa yang panjang.
"Kita akan tunggu dululah perbicaraan dan keputusan nanti, selepas itu baru parti akan buat keputusan," katanya seperti dilaporkan harakahdaily hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mengulangi kenyataan pembangkang yang menganggap tindakan mendakwa Sanusi bermotifkan politik.
Katanya kes mahkamah tersebut adalah usaha untuk menggugat serta menekan Sanusi
"Beliau (kononnya) dianggap menghina raja, saya berulang kali dengar (ucapan Sanusi) tak ada disebut pun institusi diraja Selangor,” katanya.
Pada 18 Julai lalu Sanusi dihadapkan dengan dua pertuduhan berkaitan raja-raja Melayu di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing membabitkan Sultan Selangor (berhubung pelantikan menteri besar), serta Yang di-Pertuan Agong (mengenai pembentukan kerajaan perpaduan).
Dakwaan Sanusi itu diucapkannya semasa menghadiri ceramah politik PN di Selayang, Selangor pada 11 Julai.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Tuan Ibrahim juga dilaporkan berkata, Majlis Syura Ulama PAS bersetuju mengekalkan nama Sanusi sebagai calon kerana ketua pengarah pilihan raya PAS dan PN itu belum hilang kelayakan untuk bertanding.
Tambahnya dia juga berpandangan isu membabitkan Sanusi itu hanya akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap PN termasuk dalam kalangan ahli serta penyokong kerajaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/a596a4ea687deb99be59bf6924fa9058.jpg)
