Walaupun tidak lagi disibukkan dengan jadual sebagai calon, penyandang kerusi DUN Hulu Kelang Saari Sungib tidak bercadang untuk berehat buat masa ini.

Malah ada kemungkinan kesibukan yang menunggu dalam tempoh beberapa minggu akan datang tidak kurang lelahnya berbanding menjadi calon.

Pun begitu, kata kuncinya ialah, jika dia diizinkan berkempen dan keadaan memerlukan.

Andainya rancangan itu terbuka, Saari berkata, dia akan berkempen sebaik mungkin dengan isu pengkhianatan pihak PN menjadi tema utamanya.

"Ada banyak isu khianat dalam hidup kita yang boleh dijadikan pedoman. Misalnya kisah-kisah silam yang terkandung dalam al-Quran dan sirah Nabi Muhammad SAW.

"Pengkhianatan juga ada diceritakan dalam Sejarah Melayu," katanya kepada Malaysiakini.

Persaingan di kawasan DUN Hulu Kelang dipercayai menarik, hangat dan agak unik kerana - jika keadaan berlangsung seperti diramalkan - akan menyaksikan bekas menteri besar Selangor Azmin Ali cuba mengekalkan keberadaannya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Ketika ini Azmin merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang berada dalam kawasan parlimen Ampang. Hulu Kelang pula berada di bawah wilayah parlimen Gombak.

Anfaal Saari

Azmin merupakan watak utama yang menggerakkan Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kerajaan PH - yang mendapat mandat pada PRU ke-14 - dijatuhkan di luar pilihan raya pada Feb 2020.

Untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini gabungan PH-BN dijangka menurunkan anak Saari, Anfaal, yang juga naib ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional.

"Kalau saya dibenarkan berkempen, saya akan pastikan kerusi Hulu Kelang akan kekal di tangan pihak kerajaan,” katanya.

Azmin merupakan antara watak utama yang bersama dengan Anwar Ibrahim apabila presiden PKR itu dipecat dari kerajaan serta parti pada zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kira-kira 25 tahun lalu.

Kerjasama yang baik

Pada masa sama Saari juga menjadi antara tokoh yang selalu ke depan menggerakkan kempen Reformasi. Malah dia pernah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun dalam memilih parti politik, Azmin menyertai PKR yang ditubuhkan selepas pemecatan Anwar, manakala Saari menyertai PAS sebelum meninggalkan parti itu ekoran krisis dalaman pada 2015.

Dia kemudian menyertai Amanah.

Jawatan terakhir Azmin sebelum dia meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu pada Feb 2020 ialah timbalan presiden. Ketika ini dia merupakan pengerusi PN Selangor.

Dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu Azmin bertanding untuk mempertahankan kerusi Gombak, namun gagal apabila diketepikan oleh 'anak didiknya' sendiri, Amirudin Shari.

PRN kali ini dijangka menjadi medan kali kedua untuk Azmin cuba kekal sebagai wakil rakyat. Namanya disebut-sebut akan meninggalkan Bukit Antarabangsa untuk mencuba nasib di Hulu Kelang.

Dalam PRU ke-14 lalu Saari mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan kelebihan 15, 349 undi.

Selepas PH diketepikan daripada kuasa di Putrajaya, Saari pernah menawarkan dirinya untuk berdepan dengan Azmin di Gombak apabila PRU dilangsungkan.

Namun kata Saari dia membuat tawaran tersebut dengan syarat ia mendapat persetujuan semua parti dalam PH, dan tidak ada calon lain yang berpotensi mengalahkan Azmin.

Saari - yang turut dikenali dengan panggilan Pak Abu sempena nama penanya Abu Urwah - juga bercadang mahu membantu kemenangan PH-BN melalui kemudahan yang tersedia di platform TikTok.

Sementara itu ditanya mengenai kerjasama PH dengan BN di Hulu Kelang, Saari berkata ketika ini ia berada dalam keadaan baik dan padu.

"Bahkah saya dimaklumkan yang Wanita dan Puteri Umno sendiri lebih suka kalau PH meletakkan calon wanita," katanya.