Selepas 4 rayuan tak dilayan, Tajuddin tak akan kempen untuk Umno
Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman tidak akan menyertai kempen parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ia selepas rayuannya terhadap penggantungnya daripada parti tidak diterima.
Menurut Free Malaysia Today, Tajuddin berkata empat rayuan yang dibuatnya tidak diendahkan dan dia tidak berhasrat untuk merayu lagi.
"Itulah saya cakap bagi baliklah keris saya itu – keahlian saya itu. Penggantungan keahlian saya itu kenapa tak ada respon? Kalau nak suruh saya kempen, tapi penggantungan saya itu lepaskanlah.
"Macam mana nak buat kerja? Nak tolong (kempen) kalau saya pun ‘diikat’, kaki saya ‘diikat’, tangan saya ‘diikat’, nak buat apa?" katanya.
Tajuddin digantung daripada Umno pada Oktober lalu.
Namun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu berkata bahawa parti terbuka untuk mempertimbangkankan rayuan daripada mana-mana ahli Umno yang membuat rayuan atas tindakan yang dikenakan.
Tajuddin berkata rayuannya perlu dibenarkan kerana dia adalah veteran Umno dan keputusan untuk menggantunya kerana mengkritik kepimpinan parti adalah tidak adil.
"Takkan tak boleh mengkritik, bagi pandangan, bagi nasihat, takkan tak boleh ditegur? Nak jadi apa parti kalau tak boleh ditegur," katanya.
Katanya, dia tidak berdendam terhadap Umno tetapi terhadap beberapa pemimpin parti.
Bagaimanapun, Tajuddin berkata dia tidak akan menyertai mana-mana parti lain buat masa ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/4908975ed83bbd12b583e09e13966a88.jpg)
